Wednesday, September 3, 2008

Saturday, August 9, 2008

“VALUE FOR AMAL” DI BULAN RAMADHAN

“Seutama-utama sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan” (HR at-Tirmidzi).

Ramadhan AlMubarak kembali lagi…. Suatu bulan yang penuh barakah, rahmah dan keampunan Allah SWT. Suatu bulan yang mana pahala amal akan dilipatgandakan oleh Allah SWT; di mana pahala amalan sunat akan diberi ganjaran seperti pahala amalan wajib, manakala pahala amalan wajib akan dilipatgandakan 70 kali. Ianya juga adalah satu bulan ketika mana Allah SWT menjanjikan Lailatul Qadr, satu malam yang mana jika sesiapa beribadat di dalam malam tersebut ganjarannya sama seperti beribadat selama 1000 bulan atau kira-kira 83 tahun dan 4 bulan! MasyaAllah…. Sungguh hebat sekali bulan Ramadhan ini!

Tatkala masuknya bulan Ramadhan, umat Islam akan menyibukkan diri mereka dengan aktiviti-aktiviti ibadah puasa dan sunnah-sunah yang berkaitan seperti sembahyang tarawikh, memperbanyakkan membaca al-Quran dan sebagainya. Umat Islam juga pada kebiasaannya akan tidak lupa menghulurkan sedekah untuk umat Islam yang lain yang menderita di pelusuk negara dan dunia. Rasanya setiap insan akan merasai yang jika tanpa aktiviti sedekah dan bantuan kepada fakir miskin, nescaya akan terasa kurangnya kemanisan Ramadhan ini. Oleh kerana itu, alhamdulillah bila tiba bulan puasa rata-rata golongan yang menderita ini mendapat bantuan dari pelbagai pihak. Malangnya, ada daerah-daerah umat Islam yang biasanya kurang ‘popular’ beritanya dan seringkali umat Islam ‘terlepas pandang’ di dalam memberi bantuan seperti di Chechnya, Arakan dan termasuklah Mindanao. Contoh yang paling jelas ialah penderitaan umat Islam Mindanao, yang sehingga kini kurang pembelaan. NGO-NGO Islam dari seluruh dunia yang memberi bantuan boleh dibilang dengan 5 jari sahaja. Begitulah terpinggirnya umat Islam Mindanao di hati umat Islam sedunia. Oleh itu dengan rendah hati dan rasa prihatin yang mendalam, saya ingin mengajak para-para dermawan sama-sama berkongsi dan membantu menyumbang dana untuk Ramadhan bagi mereka yang sangat memerlukan dan terpinggir di daerah minoriti Islam di Mindanao di dalam program al-B.I.R. ini.

Ramai di kalangan rakan-rakan saya yang bertanya … kenapa tidak fokuskan aktivisma ini di Malaysia sahaja? Di sini pun tidak kurang jumlahnya orang yang susah, jika tidak percaya tonton sahaja program televisyen seperti BersamaMu TV3 dan berita-berita di serata media cetak tentang kesusahan yang dihadapi oleh umat Islam Malaysia. Jawapan saya… ya, benar, memang di Malaysia pun banyak orang yang dhaif kehidupan mereka. Tetapi, alhamdulillah kita sebenarnya mempunyai agensi-agensi kerajaan yang tugas mereka memberi bantuan dan kita juga mempunyai masyarakat dermawan yang sangat prihatin. Cuma kadang-kadang maklumat tentang siapa yang susah dan di mana kedudukan mereka tidak sampai kepada institusi-institusi tersebut. Tetapi jika kita lihat keadaan umat Islam di Mindanao contohnya, keadaan mereka sangat dhaif, tiada bantuan dari pihak kerajaan malah kerajaan mereka pula menindas umat Islam! Siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk meringankan beban mereka jika tidak saudara-saudara mereka yang lebih bernasib baik di antaranya yang tinggal di Malaysia ini yang hidup di dalam keadaan selesa dan rezeki yang insyaALlah lebih dari cukup. Membantu sesama Islam ini adalah sebenarnya satu perkara yang sangat serius, kerana Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita tentang sikap ini di dalam hadithnya yang bermaksud, “Barangsiapa yang tidak mengambil peduli tentang keadaan umat Islam yang lain, maka dia bukan dari golongan umatku”

Marilah kita sama-sama renungi maksud ayat alQuran:
“Perumpamaan (nafkah yang di keluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir, seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui” (2:161).

Di dalam ayat tersebut Allah SWT telah menjanjikan pahala yang berlipatkali ganda (700 kali ganda atau lebih) kepada mereka yang membelanjakan harta mereka di jalanNya. Intipati dari ayat ini selain dari pahala yang besar kepada mereka yang menginfaqkan harta mereka ialah bagaimana Allah SWT melipatgandakan pahala tersebut dengan izinNya. Tentunya ada rahsia dan perkara-perkara yang unik yang dilihat oleh Allah SWT selain dari keikhlasan amal tersebut yang melayakkan amal tersebut diberi ganjaran lebih dari 700 kali ganda seperti yang dijanjikan.

Di negara kita Malaysia ini, sudah menjadi tradisi kita samada di bandar-bandar atau di kampung-kampung program-program iftar bersama, sembahyang tarawikh dan moreh akan diatur oleh pihak masjid ataupun surau. Sudah menjadi kebiasaan hampir setiap malam ada sahaja penaja-penaja yang sudi menyumbang untuk iftar dan moreh. Bahkan di setengah-setangah tempat tiada ruang lagi untuk menaja program-program di surau-surau dan di masjid-masjid kerana ianya sudah penuh (fully booked). Begitulah sifat pemurahnya umat Islam Malaysia di dalam bulan Ramadhan ini.

Sungguh… pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa itu adalah sangat besar sekali! Bayangkanlah, pahalanya sama dengan pahala orang yang berpuasa itu (mafhum hadith). Tentunya kita tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini. Kalau jamu 50 orang… kita dapat 50 kali pahala puasalah. Kalau lebih lagi? MasyaAllah…

Anda ingin melipatgandakan pahala bantuan iftar anda itu? InsyaAllah ada rahsia dan caranya. Contohnya, jika kita menjamu anggota qariah surau atau masjid kita (yang rata-ratanya mereka adalah dari orang yang mampu menyediakan makanan untuk iftar mereka) maka kita akan mendapat pahala setakat pahala menjamu orang yang berpuasa sahaja. Sebenarnya ada peluang untuk mendapat ganjaran tambahan lagi… bagaimana jika kita menjamu orang-orang yang susah/kelaparan yang tidak mampu menyediakan juadah iftar mereka? Sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): “Sedekah yang paling baik ialah mengenyangkan orang yang kelaparan”.

Bagaimana pula jika orang-orang yang kita jamu berbuka itu dari golongan ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim pula? Mari kita perhatikan sabda Rasulullah saw, “Barang siapa melindungi anak yatim dengan makanan dan minumannya maka Allah SWT mewajibkan surga baginya.” Di dalam hadith Sahih Muslim pula, Rasulullah s.a.w turut bersabda: “Orang yang memelihara anak yatim maka (aku) Nabi dan Dia seperti dua jari di syurga.” Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah.

Ingin gandakan lagi pahala bantuan iftar kita? Bagaimana jika orang-orang yang kita bantu itu juga adalah orang-orang yang tertindas dan hasil bantuan kita, mereka akan mendoakan kesejahteraan kita di dunia dan akhirat? Mari kita renungi hadith Rasulullah SAW yang bermaksud “Doa orang yang terzalimi pasti makbul, walaupun dia seorang yang fajir (pelaku maksiat), karena kefajiran tersebut untuk dirinya sendiri”. (HR. Ahmad).

Nak lipatgandakan pahala anda lagi? Mari kita renung ayat ini: “(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat dalam perjuangan di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi. Orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena mereka menjaga diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu infakkan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”(Al-Baqarah: 273). Tambahan lagi, mari kita renung hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, “.. Barangsiapa yang membantu orang yang berjihad di jalan Allah SWT, dia akan mendapat pahala yang sama (dengan orang yang berjihad itu)."

Begitulah secara ringkasnya bagaimana hanya dengan satu amal, kita ada banyak peluang untuk menambah pulangan dari amal tersebut. Terpulang kepada kita jika kita mahu mendapatkan pahala yang asas sahaja ataupun berlipat-lipat kali ganda lagi dengan memahami rahsia memaksimakan amal tersebut. Sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): “Kedudukan orang yang berilmu dan tidak berilmu itu adalah beberapa darjat”. Jika kita lihat di dalam kehidupan kita di dunia ini, orang-orang berilmu itu boleh meraih pulangan yang besar dari pelaburan mereka berbanding dengan orang-orang yang kurang ilmunya. Malah orang-orang yang kurang ilmunya pun memahami yang jika mereka melabur RM 1 tentunya juga mereka ingin mendapat pulangan yang paling paling maksima, RM10 atau RM 700 atau RM 1000 atau RM 1,000,000! Konsep “Value for money” sering diungkapkan di ketika keadaan ekonomi yang agak meruncing dan sumber kewangan agak terhad. Kenapa tidak kita terjemahkan konsep ini juga kepada kepada konsep “Value for Amal”, di mana kita memaksimakan amal sedekah kita agar kita mendapat ganjaran yang paling besar dari Allah SWT.

Memanglah di dalam beribadah kepada Allah SWT kita harus ikhlas dan tidak terlalu berkira-kira dengan Allah SWT tentang soal berapa jumlah pahala ini. Tetapi sebagaimana dinyatakan di awal artikel ini tadi, sebenarnya jika kita mengetahui sebenarnya ada rahsia-rahsia disebalik amal yang membuatkan Allah SWT menggandakan amal kita, tidak salah kita mengkajinya dan mengejarnya sebagaimana Allah SWT menyuruh kita mengejar fadhilat malam lailatul qadr yang bersamaan lebih 1000 bulan itu. Sheikh Dr. Yusuf Qardhawi di dalam bukunya "Fiqh Keutamaan" ada mengatakan yang pada zaman ini umat Islam sudah tidak pandai memprioritikan amal mereka dan seringkali suka membuat amal-amal yang memberi manafaat yang kecil (dan bersifat peribadi) dan sedikit daripada membuat amal yang memberi kesan yang besar ke atas ummah secara keseluruhannya. Dia memberi contoh seorang hamba Allah yang merasa dirinya sangat dekat kepada Allah SWT kerana mengerjakan umrah setiap tahun sedangkan ibadah umrah itu hanyalah ibadat sunat. Sedangkan hamba Allah yang mampu ini seharusnya menggunakan wangnya untuk perkara yang lebih penting dan wajib seperti memberi penajaan pendidikan kepada anak-anak yang tidak mampu (yang terlalu banyak di kalangan umat Islam) yang seterusnya memberi kesan yang besar kepada masa depan anak-anak tersebut dan ummah keseluruhannya.

Artikel ini juga tidaklah berniat untuk memperkecilkan program-program berbuka di surau-surau dan masjid-masjid tempatan yang juga penting untuk kesatuan ummah. Cuma eloklah juga kita tidak lupa mengimbangi sumbangan-sumbangan kita kepada mereka yang lebih memerlukan.

Akhir sekali, janganlah kita menangguh-nangguhkan amalan yang baik. Rasulullah SAW pernah bersabda (mafhumnya): “Sedekah itu akan menjadi penghalang kepada sesuatu bencana (yang akan datang kepada seseorang itu)”. Di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman, yang bermaksud: “Dan belanjakanlah sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?" (Surah Munafiqun: 10)

Saya merayu kepada para-para dermawan untuk memberi sumbangan kepada program al-B.I.R. (Bantuan Iftar Ramadhan), khusus kepada umat Islam Mindanao yang terpinggir dan dilupakan. Semoga Allah SWT memberkati segala amalan kita dan diganjarkan dengan syurga yang kekal abadi, ameen Ya Rabbal ‘alamin.

Wassalamu ‘alakum warahmatullah~

Dato Hj. Mustafa Kamal b. Mohd Zaini
Presiden, ACT Malaysia.



“Let’s join d ACT”

Sunday, August 3, 2008

PAHALA YANG BERLIPAT-LIPAT KALI GANDA